HENTIKAN POLITIK JIJIK DAN TOKSIK
oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN
Sebaik sahaja habis Ramadan , bulan yang mulia dan yang sentiasa dirindui apabila meninggalkan kita ,timbullah bulan Syawal yang mana merupakan bulan umat Islam meraikan kejayaan setelah berpuasa menahan nafsu, lapar dan dahaga selama sebulan.
Dan nampaknya kejayaan ini juga diraikan oleh mereka yang masih suka mengamalkan politik jijik di negara kita. Segala perkara jijik yang disimpan, dikeluarkan dalam bentuk permainan politik.
Isu video seks songsang yang kononnya membabitkan seorang menteri terus menjadi tular. Pengakuan dan penafian menguasai ruang berita, manakala timbul pula pelbagai lagi tuduhan yang terus memburukkan keadaan.Masyarakat terus menanti akan siasatan yang sedang dilakukan manakala penganalisis politik terus membuat pelbagai andaian dan teori yang dikaitkan dengan skandal ini.
Inilah masanya, semua golongan dan rakyat di negara kita menolak politik kotor dan jijik kerana nampaknya taktik yang digunakan ini boleh terjadi kepada sesiapa saja .Ini bukanlah taktik baru dan sekaligus menunjukkan juga yang kita masih belum matang dan bersedia menjadi sebuah negara maju dan bertamadun.
Adakah kita berbangga apabila negara luar memaparkan berita tentang politik kotor seperti ini. Benarlah kata barat “Sex Sells” dan inilah senjata yang digunakan oleh mereka yang ingin sabotaj dan berasa dengki terhadap para pemimpin di negara ini.
Kemudian muncul pula isu tentang sebuah manuskrip yang bertajuk “Mengapa Anwar tak boleh jadi PM” yang ditulis oleh Yahaya Ismail, yang terkenal sebagai seorang penulis politik. Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendedahkan yang dia telah menerima sebuah manuskrip buku bertajuk ‘Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM’ dan menurut Johari, manuskrip tersebut sarat dengan fitnah dan tohmahan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.Laporan polis sudahpun dibuat dan perkara ini perlu disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya.
Sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang sudah merasai jatuh bangun, Anwar sudah biasa dengan permainan politik kotor ini. Bagi Anwar, ini semua adalah episod dan asam garam yang sudah biasa dilalui oleh beliau. Apa yang dilakukan ini semua adalah untuk mensabotaj perjanjian yang sudah diketahui umum bahawa Anwar bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 8.
Berikanlah kepercayaan kepada pucuk pimpinan hari ini untuk membuat keputusan yang betul. Walaupun timbul pelbagai isu dan teori yang dikaitkan dengan pemilihan Perdana Menteri yang ke 8, kita mesti yakin dengan proses peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar akan berjalan dengan baik dan sepertimana yang dirancang. Jangan dihiraukan pihak yang tidak senang dengan proses ini . Perlu dijelaskan bahawa, Anwar sentiasa berbincang dengan Mahathir dan baru-baru ini sebelum Mahathir pergi ke Bangkok, Anwar sempat bersemuka dengan Mahathir bagi membincangkan isu-isu semasa termasuklah bersetuju untuk terus memberikan tumpuan kepada pembangunan negara.
Sungguhpun begitu, pihak yang berasa dengki akan terus mencari pelbagai isu yang negatif. Itu sebabnya golongan ini akan terus menggunakan isu tentang seks, skandal, rasuah , maksiat dan segala yang berkaitan dengan politik jijik . Biarpun elemen-elemen kotor ini masih mendapat tempat dan disukai oleh masyarakat, namun rata-rata masyarakat kita hari ini sudah mula muak dengan permainan politik kotor ini.
Kita mengamalkan sistem demokrasi dan jika ada sesuatu yang ingin diluahkan, lakukan dengan mengikut sistem yang sudah diamalkan dan berdasarkan kepada fakta, bukannya dengan menabur fitnah dan terus menggunakan politik jijik untuk menjatuhkan seseorang.
Itu sebabnya rakyat Malaysia terus diminta supaya jangan melayan isu isu politik jijik seperti ini. Adalah lebih baik, kita bersama menggembling tenaga membangun dan menguatkan ekonomi negara kita.Biarlah kita bertekak dan berbahas tentang isu-isu ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Hari ini, pelbagai isu tentang ekonomi , pendidikan, serta pelbagai lagi isu harian yang dikaitkan dengan kehidupan masyarakat Malaysia sudah dibahaskan secara terbuka. Bahkan pihak media juga melaporkan segala yang tidak puas hati di kalangan rakyat serta dari pelbagai parti politik.
Gunalah saluran yang betul untuk mengkritik dan buktikan kepada dunia bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang matang dalam membincangkan isu-isu semasa yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat.
oleh
Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Politik
Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM)
Nota : Banyak penerangan dan jawapan mengenai tuduhan keatas penulis Yahaya Ismail boleh diperolehi di Facebook Yahaya Ismail
No comments:
Post a Comment